KUALA LUMPUR - Cuaca mendung dan hujan renyai di beberapa tempat
di seluruh negara pada sebelah pagi hari ini tidak menghalang umat Islam untuk
beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum melakukan ibadah korban.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja
Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menyertai kira-kira 15,000 umat Islam
menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.
Selesai menunaikan solat, Seri Paduka berdua berkenan beramah
mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan
baginda berdua sebaik selesai khutbah Aidiladha.
Di PUTRAJAYA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat sunat Aidiladha di
Masjid Putra.
Turut sama menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid itu ialah
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah
Mohd Ali.
Mereka bersama lebih 5,000 jemaah menunaikan solat sunat
Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Abdul Manaf Mat.
Majlis korban Perdana Putrajaya diadakan dengan 46 ekor lembu
dikorbankan sebelum daging korban diagihkan Menteri Wilayah Persekutuan yang
juga Anggota Parlimen Putrajaya Datuk Seri Adnan Tengku Mansor kepada warga
Putrajaya.
Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri bersama kira-kira 10,000
anggota jemaah termasuk Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebanyak 39 ekor lembu dikorbankan di perkarangan masjid negeri
itu termasuk dua ekor sumbangan Sultan Selangor.
Di PERLIS, hujan di beberapa kawasan pada sebelah pagi di negeri
itu tidak menghalang penduduknya menunaikan solat sunat Aidiladha.
Kerajaan negeri Perlis menyumbang 140 ekor lembu sempena
Aidiladha tahun ini kepada wakil-wakil penduduk, jabatan kerajaan dan
pertubuhan bukan kerajaan untuk korban.
Di PULAU PINANG, hujan lebat tidak menghalang kira-kira 1,000
jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Yang Dipertua Negeri Tun
Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff di Masjid Negeri dengan
diimamkan oleh Timbalan Imam Besar, Sya'bani Awang.
Khutbah disampaikan Imam Besar Sallahuddin Ghazali.
Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam, hujan
diramal berlaku di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor pada pagi
Aidiladha manakala Perak, Perlis, Putrajaya dan Kuala Lumpur pula diramalkan
mendung.
Di KEDAH, Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku
Sallehuddin Sultan Badlishah menyertai ribuan umat Islam termasuk Menteri Besar
Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid
Zahir,Alor Setar.
Hujan dilaporkan berlaku di beberapa tempat pada sebelah pagi di
negeri itu.
Di TAWAU, Sabah pula majlis korban Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Tawau terpaksa ditangguhkan sehingga esok berikutan keadaan cuaca yang
tidak
mengizinkan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah ketika dihubungi
Bernama berkata upacara korban sepatutnya dilaksanakan selepas solat sunat
Aidiladha di perkarangan IPD secara bergotong-royong tetapi ditangguh kerana
hujan lebat.
Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menyertai kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menyertai kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Cuaca cerah melancarkan majlis-majlis korban yang berlangsung di
negeri itu.
Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Marzuki Zakaria
menasihatkan orang ramai yang hendak melakukan ibadah korban supaya menjaga
kebersihan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak wabak
penyakit kuku dan mulut.
Di KELANTAN, Sultan Kelantan Sultan
Muhammad V menunaikan solat sunat Aidiladha bersama umat Islam di Masjid
Muhammadi di Kota Bharu.
Turut sama berangkat Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad
Faiz Petra.
Turut sama menunaikan solat di masjid itu ialah Menteri Besar
Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Cuaca di negeri itu dilaporkan cerah dan memudahkan umat Islam
melaksanakan
ibadah korban.
Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat
Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi, Johor Baharu yang turut disertai
anakanda-anakanda baginda.
Turut sama menunaikan solat Aidiladha di masjid itu Menteri
Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Di PERAK, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah menunaikan
solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah di
Jalan Raja Muda Musa, Ipoh.
Baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Tahun ini sebanyak 341 ternakan korban bernilai RM1.02 juta
disumbangkan pelbagai agensi dan badan berkanun di Perak untuk program tahunan
Korban Perdana untuk diagihkan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri
(Dun).
Di PAHANG, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah diiringi Menteri
Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan
umat Islam di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar 1, Kuantan.
Sementara itu, Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Pekan, Datuk
Ariffin Daud berkata sebanyak 303 ekor lembu diagihkan kepada masjid dan surau
di kawasan Parlimen Pekan untuk dikorbankan.
Beliau berkata sebanyak tujuh ekor lembu sumbangan peribadi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dikorbankan di kawasan kediaman
Perdana Menteri di Pekan, esok.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku
Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar
Mahmud berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah
di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menunaikan
solat sunat Aidiladha di kampung halamannya di Rantau, Rembau bersama kira-kira
1,000 jemaah di Masjid Jamek Rantau.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob
serta Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menyertai kira-kira 7,000 jemaah
menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.
Sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan di perkarangan masjid itu
sebelum daging korban diagihkan Mohd Khalil kepada orang ramai.
Di LABUAN, 40 ekor lembu diagihkan di kesemua 27 kampung dan
persatuan mewakili umat Islam di pulau itu bagi melaksanakan ibadah
korban.
Anggota Parlimen Labuan Rosman Isli berkata lembu-lembu itu
disumbangkan melalui peruntukan Parlimen Labuan, Yayasan Wilayah Persekutuan,
Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dan orang
perseorangan.
Di SARAWAK, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menunaikan
solat sunat Aildiladha di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Turut sama barisan kabinet negeri antaranya Menteri Perumahan
dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Perancangan Sumber
dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta Speaker Dewan
Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.
Tidak ketinggalan mengadakan ibadah korban warga Divisyen
Pertama Kem Penrissen, Batu 8, dekat Kuching yang dihadiri Panglima Divisyen
Pertama Infantri Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.
Sebanyak 44 ekor lembu dan tujuh ekor kambing diagihkan di lapan
kem Markas Divisyen Pertama Infrantri Malaysia di seluruh negeri bagi
melaksanakan ibadah korban tahun ini.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan
isteri Datin Seri Faridah Tussin menyambut Aidiladha di Sandakan.
Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga menyertai umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid ungai Kayu, Batu 7, Jalan Lapangan Terbang. - Bernama
SUMBER : SINAR HARIAN
Sudah Selesai Baca???..Tolong Klik2 Iklan Kat Bawah Ni..Tq



0 comments :
Catat Ulasan